PCOS (Sindrom Ovari Berpolisistik) merupakan salah satu masalah kesihatan wanita. Ia turut dikenali sebagai Stein-Leventhal Syndrome.
PCOS adalah sejenis sindrom dan bukannya penyakit kerana ia mempunyai pelbagai petanda dan simptom. Ia dapat dikenalpasti melalui:
- Haid tidak teratur - tanda biasa yang boleh menjadi petunjuk ialah kitaran haid yang tidak teratur. Biasanya wanita yang mengalaminya akan lambat datang haid atau kadang-kadang jarak antara haid menjadi begitu jauh sekali sehingga tiga atau enam bulan untuk datang haid yang berikutnya
- Obesiti - Peningkatan berat badan adalah salah satu tanda lain bagi PCOS. Hal ini kerana kegemukan atau obesiti boleh menyebabkan pusingan haid tidak teratur dan menjad punca masalah kesuburan kerana telur tidak dapat menetas dengan sempurna
- Hirsutism - Terdapat segelintir wanita mengalami pertumbuhan bulu seperti di muka, perut, kaki dan tangan yang disebabkan oleh hormon androgen yang berlebihan. Apabila ini terjadi, ianya menunjukkan terdapat peningkatan hormon lelaki di dalam darah wanita terbabit
- Ketidaksuburan - Masalah begini akan terjadi apabila folikel-folikel telur tidak dapat dibebaskan daripada ovari pada waktunya
- Tanda-tanda lain - akantosis nigrikans (bahagian kulit tertentu berwarna gelap), kulit berminyak dan masalah kebotakan (corak lelaki)
Mana-mana wanita yang mengalami PCOS, mereka sangat berisiko mendapat kencing manis akibat rintangan insulin yang tinggi, tekanan darah tinggi, sakit jantung, masalah berkaitan kolesterol, hyperplasia endometrium (lapisan di dalam rahim tebal), keguguran janin dan mengalami kesukaran untuk mengandung.
PCOS boleh dikawal dengan melakukan beberapa langkah tertentu dengan mengamalkan pemakanan berkarbohidrat rendah serta kurangkan lemak dan gula, melakukan senaman secara berkala dan mengurangkan berat badan sehingga 10% sahaja pun diyakini berupaya untuk memperbaiki tahap hormon dalam tubuh. Antara lain, dengan menggunakan pil perancang yang membantu mengurangkan hormon lelaki dan membuat kitaran haid lebih teratur. Sama juga halnya dengan cypeterone acetate yang digunakan untuk mengurangkan hormon lelaki dan hirsutism. Hormon progesteron pula diambil bagi mengeluarkan haid dan ubat diabetes iaitu Metformin boleh mengurangkan kerintangan insulin.
Penggunaan ubat subur untuk merangsang kesuburan pula adalah seperti clomiphene cutrate dan suntikan follicular stimulating hormone (FSH). Malah dalam keadaan tertentu, pembedahan yang melibatkan prosedur laparoskopi iaitu menggerudi ovari dengan kauteri (proses memusnahkan tisu-tisu yang berpenyakit dengan cara membakarnya dengan besi panas ataupun dengan kimia kaustik) perlu dilakukan.
Comments
Post a Comment